Teknologi dan Inovasi Dalam Pendidikan. Powered by Blogger.
RSS

Pendidikan Abad ke-21


PENDIDIKAN ABAD KE 21

Pada masa kini, negara di seluruh dunia sedang melaksanakan pembaharuan yang meluas terhadap pendidikan untuk menghasilkan generasi yang celik dengan teknologi maklumat dan mampu berdaya saing secara sihat. Pendidikan abad ke 21 ialah pendidikan yang berdaya saing seiring dengan kemajuan teknologi maklumat pada masa kini. Mengikut laporan UNESCO (Report of the International Commission on Education for the twenty first century), pendidikan yang berterusan sepanjang hidup harus berasaskan empat tonggak utama, iaitu: ‘Learning to know’ (belajar untuk tahu); ‘ Learning to do’ (belajar untuk buat); ‘Learning to leave together’ (belajar untuk hidup bersama) dan ‘ Learning to be’ (belajar untuk menjadi).

Melalui tonggak utama ini, pendidikan abad ke-21 adalah pendidikan yang melahirkan generasi yang berilmu untuk berfikir, bertindak dan menghasilkan sesuatu yang bermanfaat berlandaskan skop yang global dan teknologi yang terkini, serta berupaya menangani gelombang perkembangan dan perubahan masa kini. Ia juga mengupayakan seseorang dengan sikap, kemahiran dan ilmu (A.S.K- Attitude, Skill and Knowledge) untuk melakukan  perkara-perkara yang perlu dan patut dilakukan dalam konteks persekitaran yang sentiasa berubah.

Di peringkat dunia, Finland merupakan sebuah negara yang menyediakan sistem pendidikan yang terbaik di dunia. Manakala peringkat Asia Tenggara, Singapura merupakan negara yang mempunyai sistem pendidikan yang terbaik manakala Malaysia menduduki tangga ke 21 dalam pendidikan. Pada awal abad ke-21, beberapa perubahan dan perkembangan dalam sistem pendidikan Malaysia telah berlaku disebabkan oleh cabaran yang dihadapi akibat kesan globalisasi, liberalisasi, dan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi.

Cabaran negara Malaysia waktu ini adalah untuk membangunkan ekonomi berasaskan pengetahuan atau K-ekonomi bagi menghadapi persaingan dengan negara lain. Ini menuntut negara Malaysia membangunkan sumber tenaga manusia yang berketerampilan tinggi dalam pelbagai bidang dan berdaya saing. Oleh itu, pendidikan abad ke 21 di Malaysia telah memberi perubahan yang menarik terhadap sekolah, guru, pelajar dan kurikulum. Sekolah-sekolah dalam abad ke-21 akan ditambah dengan kurikulum berasaskan projek untuk kehidupan bertujuan melibatkan pelajar dalam menangani masalah dunia sebenar, isu-isu yang penting kepada manusia, dan persoalan yang perlu dijawab.

Sekolah akan menghubungkan guru, pelajar dan masyarakat kepada kekayaan ilmu yang wujud di dunia. Oleh itu, wujud sekolah bestari yang berasaskan teknologi dan multimedia untuk perkembangan pendidikan abad 21. Guru pula berperanan sebagai penyampai maklumat yang membantu pelajar untuk bertukar maklumat dan mendorong pelajar untuk menjana idea sendiri dengan berfikir secara luas dan bebas. Selain itu, guru abad 21 juga adalah guru yang bersifat fleksibel untuk mengajar pelajar dan merangsang pelajar untuk menjadi lebih pintar supaya mereka akan terus belajar di luar hari sekolah.

Manakala pelajar pula pada abad 21 ini adalah pelajar yang bersifat global iaitu pelajar belajar bagaimana untuk berhadapan dengan kehidupan dunia yang sebenar dan seterusnya memupuk rasa ingin tahu mereka yang merupakan asas kepada pembelajaran sepanjang hayat. Di dalam proses pembelajaran pelbagai kaedah dan teori telah digunakan untuk memastikan proses pembelajaran yang berkesan terhadap pelajar. Salah satu teori yang digunakan adalah teori konstruktif.

Jika dilihat dari sudut pendidikan, pembelajaran dan pengajaran berdasarkan konstruktif ini menyeimbangkan peranan guru dan pelajar untuk saling bersandar antara satu sama lain. Melalui teori konstruktif ini, ia mengajar pelajar untuk berfikir berdasarkan pengalaman sebenar di mana pengetahuan itu dibina melalui proses pengaruh di antara pembelajaran terdahulu dengan pembelajaran terbaru yang berkaitan. Ia juga memberi hak dan peluang kepada pelajar untuk belajar (learn how to learn) dengan membina makna dan kefahaman yang tinggi dalam kerangka minda masing-masing.



  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment