Teknologi dan Inovasi Dalam Pendidikan. Powered by Blogger.
RSS

Pelajar Abad Ke-21


PELAJAR ABAD KE-21

Abad ke-21 membawa masyarakat dunia ke satu lagi fasa penganjakan paradigma kehidupan. Ini meliputi penganjakan daripada masyarakat perindustrian kepada masyarakat berinformasi, penggunaan teknologi manusia kepada penciptaan teknologi, pemusatan kuasa kepada pengagihan kuasa dan sebagainya. Abad ke-21 sering dikaitkan dengan era Teknologi Maklumat (IT) yang mempercepatkan dan mendekatkan faktor jarak dan masa. Matlamat menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan (center for academic excellence) di rantau asia dan juga di peringkat antarabangsa pada abad ke-21 ini, memerlukan negara ini meningkatkan imej dan kualiti pendidikannya ke taraf dunia. 

Perkembangan dalam bidang sains dan teknologi dalam era globalisasi turut mempengaruhi pelajar pada alaf baru ini. Pelajar dapat mencari maklumat dan rujukan tambahan untuk proses pembelajaran mereka melalui kemudahan internet. Sekiranya pelajar tidak dapat mencari bahan rujukan dalam bentuk buku ataupun media cetak yang lain, para pelajar boleh menggunakan inisiatif lain untuk mencari maklumat dengan menggunakan internet. Para pelajar mungkin dapat lebih memahami tentang pembelajaran kerana telah mempunyai pelbagai kemudahan yang berasaskan elektronik. Walau bagaimanapun, globalisasi juga menyebabkan pemikiran pelajar semakin terbuka dan terlampau yang mana pelajar berfikiran bahawa dunia tanpa sempadan dan setiap pemikiran adalah hak asasi setiap manusia tanpa memikirkan impaknya dalam kehidupan. Perkara ini bertambah parah lagi apabila pelajar mula melayari laman web yang lebih berunsurkan hiburan, lucah dan sebagainya di internet. 

            Abad ke-21 juga menyaksikan penularan gejala negatif di sekolah-sekolah semakin meruncing pada akhir-akhir ini menyebabkan institusi pendidikan yang dipandang mulia selama ini mula goyah. Masyarakat berpendapat bahawa institusi pendidikan terutamanya di peringkat sekolah menengah tidak boleh memberi jaminan kualiti pelajar yang baik kepada masyarakat dan negara. Masalah disiplin dalam kalangan pelajar menengah khususnya yang menjadi isu hangat sejak kebelakangan ini memerlukan pendedahan rapi dari semua aspek, bermula daripada ekonomi hinggalah aspek sosial. Pelbagai bentuk gejala negatif telah dibawa ke dalam sekolah yang telah membentuk satu budaya yang lebih dikenali sebagai budaya samseng.

         Seterusnya, media massa merupakan satu alat yang mampu merangsang dan mempengaruhi sikap serta tingkah laku individu atau masyarakat merangkumi semua aspek kehidupan manusia. Pelajar abad ke-21 juga tidak terlepas dari terkena tempias ini. Setiap hari televisyen misalnya menayangkan filem-filem yang berlatar belakangkan budaya dan masyarakat asing. Adegan ganas dan ‘panas’ serta segala jenis hiburan sentiasa dipamerkan. Gaya hidup mewah dan glamor turut ditonjolkan. Hasilnya, didapati remaja terikut-ikut dengan apa yang dilhat dan didengar walaupun apa yang dibuat itu bertentangan dengan nilai-nilai agama dan budaya ketimuran. Anehnya, apa yang diikut itu kebanyakannya bersifat negatif.

            Selain itu, senario remaja hari ini amat membimbangkan banyak pihak. Sama ada ia melibatkan pelajar sekolah atau penuntut Institusi Pengajian Tinggi. Masalah yang ditimbulkan oleh mereka nyata memberi impak yang sungguh besar kepada masyarakat. Kementerian Pelajaran Malaysia telah menyusun dan merancang untuk memperbaiki, memperkukuhkan dan mempertingkatkan dasar pendidikan negara. Namun visi dan cita-cita yang luhur ini tidak akan tercapai seandainya masalah keruntuhan akhlak dalam kalangan pelajar tidak dapat dibendung. Pelbagai inisiatif perlu dilakukan segera untuk menangani masalah keruntuhan akhlak ini bagi membentuk pelajar agar menjadi insan yang berakhlak tinggi.

            Kesimpulannya, guru pada masa kini mempunyai beban tugas yang sangat mencabar untuk berhadapan dengan pelajar abad ke-21 ini. Setiap guru harus dibekalkan dengan pelbagai pengetahuan, kemahiran, nilai, motivasi, psikologi, dan lain-lain. Hal ini amat penting dalam mendidik pelajar-pelajar dalam abad ke-21 yang diketahui mempunyai banyak kemahiran yang dipelajari secara pengalaman, pembacaan, pemerhatian dan pergaulan seharian. Para pendidik adalah wahana yang boleh menentukan corak hidup manusia yang mampu menghadapi alaf baru iaitu abad ke-21.
           
           
           
              

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment