Teknologi dan Inovasi Dalam Pendidikan. Powered by Blogger.
RSS

Guru Abad Ke-21


Peranan Guru Pada Abad Ke-21

Bagi setiap negara yang sudah mencapai kemerdekaan, salah satu aspek penting yang amat dititikberatkan dalam usaha untuk menuju ke arah negara yang maju dan membangun dari aspek politik, ekonomi dan sosial ialah penekanan terhadap perlaksanaan sistem pendidikan negara. Sistem pendidikan yang dilaksanakan di dalam sesebuah negara adalah penting bukan hanya kerana fungsi kebajikan dan sosialisasinya iaitu di mana kanak–kanak dididik untuk menjadi insan yang berjaya dan mengenali budaya serta alam sekeliling, tetapi juga boleh digunakan sebagai wadah untuk menyampaikan ideologi kebangsaan kepada masyarakat iaitu melalui penerapan tentang kefahaman serta nilai–nilai positif untuk perpaduan kaum di kalangan para pelajar.

Di Malaysia, dasar pendidikan mempunyai peranan yang amat penting dalam menentukan hala tuju sistem pendidikan negara yang mana dasar ini dikenali sebagai ‘Dasar Pendidikan Kebangsaan’. Dasar Pendidikan Kebangsaan mula dilaksanakan di negara ini dalam tahun 1957. Umumnya, terdapat tiga tujuan utama yang terkandung dalam dasar pendidikan kebangsaan ini. Pertama, tujuan dasar pendidikan diadakan adalah untuk mewujudkan satu sistem pelajaran yang dapat memenuhi keperluan negara dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi dan politik. Kedua, untuk menghasilkan pelajar yang berdisiplin serta mematuhi dan menghormati kedua-dua ibu bapa mereka di mana prinsip ini sejajar dengan dasar dan polisi pendidikan untuk mengadakan proses pengajaran dan pembelajaran yang cekap dan efisien dengan keperluan untuk mengelakkan perbelanjaan awam yang tidak tersusun. Yang ketiga pula, ianya untuk memastikan agar dasar ini dapat dilaksanakan dengan berkesan khususnya dalam menentukan perkembangan sistem pendidikan yang progresif dan bahasa kebangsaan dijadikan sebagai bahasa pengantar yang utama.

Sehubungan itu, pelbagai dasar dan pembaharuan pendidikan dilaksanakan kerajaan bertujuan memantapkan proses pembelajaran dan pengajaran di sekolah. Matlamat akhirnya sudah tentu untuk menghasilkan anak didik yang mampu memberi sumbangan kepada agama, bangsa dan negara. Tanggungjawab guru untuk melakukan transformasi atau perubahan dalam pendidikan negara sangat besar. Ia bermula daripada cara guru mengaplikasikan Dasar Pendidikan Negara secara berkesan. Mereka mesti memahami agenda transformasi yang dilaksanakan. Justeru, jati diri guru mestilah tinggi supaya mampu mengikuti rentak dirancang kerajaan dalam bidang pendidikan. Guru perlu mempunyai rasa pertanggungjawaban dan akauntabiliti terhadap keberhasilan operasi institusi masing-masing.

Oleh itu guru pada abad ke-21 perlu memiliki kemampuan dalam semua aspek perguruan sejajar dengan kehendak negara kerana daripada peringkat pemilihan calon guru, latihan, fasa induksi, pembangunan profesionalisme berterusan sehingga ke peringkat penilaian serta pengurusan prestasi guru itu sendiri, dipastikan sentiasa berada pada tahap tinggi.


Menurut dokumen Standard Guru Malaysia (SGM) adalah rujukan dan panduan untuk memperkasa dan melestarikan guru berkualiti. SGM menggariskan kompetensi profesional perguruan atau piawaian yang patut dicapai oleh guru dan keperluan yang patut disediakan agensi dan institusi latihan perguruan bagi membantu para guru mencapai tahap kompetensi ditetapkan. Secara ringkasnya, ada tiga peranan utama seorang guru. Pertama, guru hendaklah menyampaikan ilmu pengetahuan kepada anak murid. Kedua adalah mengajar kemahiran dan ketiga adalah menerapkan nilai serta akhlak mulia dalam diri pelajar.

Tugas guru abad ke-21 dipandang tinggi dan diiktiraf bukan saja sebagai penyampai ilmu, jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda, pembangun sahsiah malah sebagai ejen perubahan. Selain digelar pendidik, pensyarah serta tutor, guru juga bergelar fasilitator, mentor, murabbi, mursyid, muaddid, musyrif, mudarris dan mualim. Dalam menjana transformasi pendidikan, tugas guru bukan hanya sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan, tetapi juga berperanan membentuk bangsa supaya menjadi insan yang berakidah, dinamik dan berkualiti di dunia dan akhirat.

Antara cabaran terbesar dihadapi oleh guru pada abad ke-21 ialah perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi. Tidak dinafikan perkembangan semasa memberi kesan kepada proses sahsiah, terutama pelajar. Kebanyakan pelajar sudah mahir komputer bahkan pemahaman dan keupayaan mereka kadangkala melebihi guru. Disebabkan itulah guru perlu sentiasa meningkatkan kemahiran dan pengetahuan, selain memahami tanggungjawab serta memberikan komitmen dengan melaksanakan pendekatan baru ke arah meningkatkan kualiti pendidikan.

Transformasi perlu seiring dengan semangat 1Malaysia yang mementingkan perpaduan. Guru daripada pelbagai latar belakang, anutan agama atau bangsa haruslah melibatkan diri dalam proses membentuk perpaduan, sekali gus menjalin hubungan dan kerjasama yang kukuh serta berkekalan. Maka, dalam menjayakan harapan tinggi bagi menjana transformasi sistem pendidikan negara, guru perlulah banyak berkorban, bekerja kuat dan ikhlas serta bersedia menempuh pelbagai cabaran dan dugaan termasuk perubahan dalam sistem penyampaian serta maklumat supaya selari kehendak diperlukan bagi mencapai aspirasi negara.

Oleh itu peranan guru pada abad ke-21 sangat besar kerana perlu melahirkan pelajar yang kaya maklumat (termasuk sains dan teknologi), mempunyai kekuatan minda (kreatif dan proaktif), nilai-nilai luhur dan harmoni, semangat jati diri, jaya diri, keusahawanan dan mempunyai keterampilan diri yang baik. Bagi melahirkan pelajar seperti ini, maka para pendidik dan guru-guru pelatih perlulah dilengkapkan dengan pelbagai ilmu pembelajaran abad ke-21. Antara ciri-cirinya adalah guru tersebut perlu  menguasai subjek (kandungan kurikulum),  mahir dan berketrampilan dalam pedagogi (pengajaran dan pembelajaran). Selain itu, guru itu juga perlu memahami perkembangan murid-murid dan menyayangi mereka. Para guru juga perlu memahami psikologi pembelajaran (cognitive psychology) serta memiliki kemahiran kaunseling. Guru abad ke-21 perlu mahir menggunakan teknologi terkini supaya dapat mengaplikasikannya di dalam pengajaran.
           
Bagi mencapai hasrat negara untuk membangunkan generasi yang mempunyai kemahiran abad-21, seseorang guru atau pendidik itu perlu komited dan menguasai dalam  pelbagai bidang. Ini kerana penting bagi seseorang pendidik untuk sentiasa bersedia menguasai ilmu bagi menjadikan diri mereka relevan dan sesuai dengan perubahan yang berlaku. Ini kerana guru yang mempunyai kombinasi beberapa ilmu pelajaran lebih baik berbanding dengan guru yang cuma menjurus kepada satu bidang sahaja. Dalam konteks pengajaran Pendidikan Islam, seseorang guru itu perlu ‘berani’ mencuba sesuatu yang baru seperti menggabungkan pengetahuan Sains Komputer dengan Pendidikan Islam Pendekatan Bersepadu. Bagi memastikan seseorang pendidik itu mampu menguasai pelbagai bidang, guru hendaklah mengamalkan pembelajaran berterusan supaya guru sentiasa mengikuti perubahan yang berlaku dan menjadikan diri sentiasa bersedia menghadapi pelbagai cabaran.

        Selain itu, guru abad ke-21 juga perlu mengikuti perkembangan tentang Dasar dan Isu Pendidikan. Seseorang guru yang berpengetahuan akan sentiasa mengikuti perkembangan yang berlaku khususnya perkembangan tentang dasar serta isu-isu berkaitan dengan pendidikan yang akan memberi impak kepada profesion perguruan serta perjalanan proses pengajaran dan pembelajaran. Dasar-dasar seperti dasar sains dan teknologi sekolah berasaskan ICT perlu diteliti dan difahami bagi membentuk guru yang berwibawa sekali gus membantu kepada melahirkan generasi yang berkualiti dan berkemahiran.

Perkara yang paling penting seorang guru juga perlu mahir dalam pedagogi pengajaran dan pembelajaran. Kekuatan profesion perguruan dalam memastikan hasrat melahirkan generasi berkemahiran abad-21 juga bergantung kepada kecekapan seseorang guru itu menguasai pengetahuan pedagogi. Pengetahuan pedagogi ini bukanlah berdasarkan kepada pengalaman atau pengetahuan tradisional yang mana sistem P&P diamalkan hanya berpusatkan kepada guru (teachers-centred). Bagi melahirkan modal insan yang mempunyai kemahiran abad-21 ini, seseorang guru itu wajib mencuba untuk mangadaptasikan pedagogi inovasi teknologi di dalam P&P contohnya pembelajaran berbantukan komputer. Ini kerana pengetahuan dan kebolehan guru mengadaptasikan kaedah P&P yang inovatif akan memberikan kesan positif kepada perkembangan dan pencapaian pelajar.

           Guru pada abad ini juga perlu mahir menggunakan Teknologi Terkini. Seseorang guru itu seharusnya mengorak langkah dan mengambil peluang untuk melengkapkan diri dengan ilmu berasaskan teknologi serta bersedia menjurus kepada penguasaan dan penggunaan teknologi maklumat dalam pelbagai bidang. Penggunaan teknologi itu bukan sahaja dijadikan sebagai satu mekanisme di dalam pengajaran dan pembelajaran tetapi juga bagi menyelesaikan urusan harian. Selain itu guru abad ke-21 juga perlu menerapkan nilai-nilai murni iaitu para pelajar mempunyai akhlak yang baik. Beretika merupakan satu elemen sangat penting dalam usaha pembudayaan masyarakat yang dapat mewujudkan kesejahteraan dan keharmonian negara. Selain daripada mendapat pendedahan kepada teknologi, seseorang guru itu juga harus menitikberatkan perlakuan baik, peradaban dan tatasusila di dalam hubungannya sesama manusia terutamanya pelajar, rakan sekerja serta masyarakat.


  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment